TIPS PENJAGAAN KULIT BAYI SIHAT
Kulit Ialah Organ Deria Pertama Yang Terhasil Pada Janin. Kulit Bayi Baru Lahir Masih Belum Cukup Matang Pada Waktu Kelahiran Kerana Kekurangan Kelenjar Sebum & Peluh. Kulit Bayi Masih Meneruskan Proses Pematangan Semasa Mereka Kecil.
Sewaktu kelahiran, bayi baru lahir meninggalkan rahim yang panas, basah, steril dan selamat kepada persekitaran yang lebih sejuk, kering & penuh bakteria. Kulit bayi baru lahir amat penting semasa perubahan ini. Semasa kulitnya menyesuaikan dengan persekitaran baharu, akan ada perubahan pada hidrasi, ikatan air dan keasidan kulit. Deria sentuh juga berperanan penting dalam perkembangannya. Sentuhan, pelukan dan ciuman ibu memberikan keselesaan dan kasih sayang kepada bayi, sambil meyakinkannya bahawa ia selamat.
Fungsi kulit kekal sama sepanjang hidup tetapi struktur kulit bayi dan orang dewasa berbeza. Stratum korneum dan epidermis kulit bayi lebih nipis (30% lebih nipis berbanding kulit orang dewasa). Kulit bayi juga cenderung mengalami kehilangan air transpidermal lebih tinggi (menyerap lebih banyak air tetapi lebih pantas kehilangan air berlebihan). Faktor pelembap semula jadi iaitu faktor yang mengikat air dan mengekalkan kulit terhidrasi juga kurang pada kulit bayi.
Kulit sensitif bayi memerlukan lebih penjagaan & perhatian.
Oleh itu, ini ada beberapa Tips Penjagaan Kulit Bayi;
1. MASA MANDI
Ia harus singkat dan tidak terlalu kerap agar tidak kehilangan minyak semula jadi yang melindungi kulit bayi. Gunakan produk mandian yang tidak merengsakan dalam jumlah sedikit, bilas sepenuhnya, dan elakkan “terlalu banyak mandi” yang boleh menyebabkan kulit kering. Pastikan suhu air yang suam. Gunakan losyen bayi untuk kekalkan kelembapan kulit selepas mandi.
2. PENUKARAN LAMPIN
Kulit kawasan lampin lebih mudah mengalami iritasi disebabkan kelembapan dan pH tinggi, geseran dan lain-lain. Kerap periksa lampin dan segera tukar jika kotor untuk mengelakkan ruam lampin. Selepas bersih, lap punggung bayi dengan lembut sehingga kering sebelum memakaikannya lampin baharu. Sapukan krim rintangan jika terdapat ruam lampin. Gunakan tisu lembap bebas alkohol dan lampin pakai buang yang mempunyai serapan tinggi untuk jagaan kawasan lampin sensitif yang selamat, berkesan dan lebih lembut.
3. URUTAN BAYI
Urutan membantu bayi bertenang, tidur dengan lebih baik, dan tidak terlalu lama menangis. Sapukan minyak bayi atau losyen lalu urut muka, abdomen dan anggota bayi dengan lembut sambil bercakap atau menyanyi kepadanya.
4. PRODUK BAYI
Pilih produk khusus untuk bayi seperti syampu atau losyen yang tidak pedih di mata dan bebas alergen, dan produk yang mengekalkan tahap pH kulit bayi yang sedikit berasid. Berjaga-jaga dengan reaksi alahan. Produk untuk orang dewasa (seperti produk antibakteria, deodoran dan sebagainya) mungkin terlalu kasar untuk kulit bayi.
Ibu bapa perlu memahami label produk. Jika bayi mempunyai alahan, cari label ‘bebas alergen’. Label ‘bebas wangian’ atau ‘tiada pewangi’ mungkin mengandungi molekul wangian tetapi disembunyikan atau dineutralkan dengan bahan kimia lain. Ibu bapa juga perlu mempelajari penggunaan produk yang betul, dari segi dos dan kaedah sapuan yang betul.
Semasa memilih produk bayi, pastikan produk tersebut terbukti secara klinikal dan mematuhi peraturan piawaian dengan ketat. Kulit bayi anda lebih sensitif dan masih belum matang, tetapi kulit ialah antara cara pertama bayi anda berinteraksi dengan anda dan dunia. Interaksi ini penting untuk perkembangannya, jadi jagalah kulit bayi anda dengan baik!